مَنْ أَتَى عَرَّافًا فَسَأَلَهُ عَنْ شَىْءٍ لَمْ تُقْبَلْ لَهُ صَلاَةٌ أَرْبَعِينَ لَيْلَةً
Maksudnya: “Sesiapa yang mendatangi 'arraf (dukun) dan menanyakan kepadanya tentang sesuatu, maka tidak diterima solatnya selama empat puluh malam.”
Riwayat Muslim (5957)
Pada riwayat yang lain, selain Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَتَى كَاهِنًا، أَوْ عَرَّافًا، فَصَدَّقَهُ بِمَا يَقُولُ، فَقَدْ كَفَرَ بِمَا أُنْزِلَ عَلَى مُحَمَّدٍ
Maksudnya: “Sesiapa mendatangi kahin atau 'arraaf (dukun) dan dia membenarkan ucapannya maka dia telah kufur terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad (al-Qur'an).”
Riwayat Ahmad (9171)
Erti 'Arraaf dan Kahin
Ibnu Athir menjelaskan bahawa 'arraaf (peramal) adalah ahli nujum yang mendakwa mengetahui ilmu ghaib padahal hanya Allah SWT yang mengetahui masalah ghaib (Lihat Al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar , 3/442), Tukang ramal ini termasuk dalam kategori kahin (dukun).
Al-Baghawi pula menerangkan: 'Arraaf adalah orang yang mengaku mengetahui perkara-perkara tertentu dengan cara-cara tertentu yang dipakai sebagai petunjuk akan barang hilang atau tempat hilangnya barang dan misalnya. Sedangkan kahin adalah orang yang menceritakan akan peristiwa-peristiwa yang akan terjadi pada masa akan datang. Dan pendapat lain mengatakan kahin adalah orang yang mengetahui apa yang ada di dalam hati (mengetahui isi hati membaca fikiran)(Lihat Syarh al-Sunnah , 12/182).