Tidak boleh disamakan menyembelih binatang dengan menyembelih jin.
Menyembelih binatang dengan pisau atau parang.
Adapun menyembelih jin dengan cara isyarat tangan yang diiringi dengan doa, bacaan ayat Al-Quran, zikir, dengan bergantung harap kepada Allah.
Jika Allah perkenankan doa itu, matilah jin itu dengan izin Allah. Bukan dengan qudrat perawat itu.
______
Kisah Ibn Taimiyyah
Ibn Taimiyyah memukul tengkuk orang yang dirasuk jin dengan tongkat sehingga orang yang menyaksikan menyangka orang itu akan mati akibat pukulan keras Ibn Taimiyyah.
Adakah cara rawatan Ibn Taimiyyah ini tidak patuh syariah?
- Nabi saw tidak pernah mengajar merawat orang kerasukan dengan cara memukul tengkukya dengan tongkat.
- Bukankah jin ini perkara ghaib? Macam mana Ibn Taimiyyah tahu pukulannya itu boleh menyakiti jin dalam tubuh pesakit?
- Bagaimana Ibn Taimiyyah boleh memastikan pukulannya itu benar-benar menyakiti jin? Mungkin sahaja jin itu berlakon kesakitan.
- Apakah Ibn Taimiyyah tidak khuatir akan membuka pintu khurafat menyebabkan manusia meyakini pukulan itu menyakiti jin dalam tubuh pesakit?
- Apakah Ibn Taimiyyah tidak khuatir akan berlaku talbis iblis terhadap dirinya dengan merasa dirinya mempunyai kuasa yang boleh menyakiti jin dengan tongkat?
_______
Kisah Imam Ahmad bin Hambal
Imam Ahmad bin Hambal merawat wanita kerasukan jin dengan hanya mengirim sandalnya. Apabila jin dalam tubuh perempuan itu diperintah keluar sebaik diancam akan dipukul dengan sandal imam Ahmad bin Hambal, jin itu langsung keluar.
Apakah kaedah rawatan Imam Ahmad ini tidak patuh syariah?
- Nabi saw tidak pernah mengajar merawat orang yang kerasukan dengan cara dipukul dengan sandal. Apatah lagi dengan hanya dikirim sandal.
- Bukankah jin itu perkara ghaib? Bagaimana Imam Ahmad bin Hambal boleh tahu sandalnya itu ditakuti oleh jin?
- Bagaimana Imam Ahmad boleh memastikan sandalnya itu benar-benar boleh menghalau jin? Mungkin sahaja jin itu berlakon kononnya takut dengan sandal Imam Ahmad.
- Apakah Imam Ahmad tidak khuatir akan membuka pintu khurafat sehingga menyebabkan manusia meyakini bahawa sandalnya itu memiliki kelebihan luar biasa yang boleh menyakiti dan menakuti jin?
- Apakah Imam Ahmad tidak khuatir akan berlaku talbis iblis terhadap dirinya dengan merasa dirinya mempunyai kuasa yang boleh menyakiti jin dengan sandalnya?
- Talbis Iblis boleh berlaku dalam semua keadaan. Bukan hanya dalam kaedah sembelih jin. Talbis iblis juga boleh berlaku dalam hal-hal kebaikan yang lain seperti ketika ceramah, ketika membaca Al-Quran dan sebagainya.
________
Semua ini dapat menjawab persoalan yang ditimbulkan oleh mereka yang menolak kaedah sembelih jin dalam rawatan.
Bukanlah menjadi satu kewajipan untuk menerima kaedah sembelih jin ini.
Ia juga bukan sesuatu yang wajib diyakini.
Ia juga bukan sesuatu yang wajib diamalkan setiap kali merawat pesakit yang diganggu jin.
Seseorang itu bebas memilih sama ada mahu menggunakan teknik ini atau tidak selagi mana tauhidnya benar kepada Allah.
(penulis : Ust Dzulqarnain Yusuf Sabah)
No comments:
Post a Comment